Monday, October 26
Home>>Rancangan TV>>Gegar Vaganza>>Barisan Peserta Gegar Vaganza Musim Ke-7
Peserta Gegar Vaganza 7
Gegar Vaganza

Barisan Peserta Gegar Vaganza Musim Ke-7

Tanpa perlu pengenalan panjang lebar, pertandingan nyanyian popular ‘Gegar Vaganza’ kembali serba mantap untuk penganjuran musim ketujuh yang menampilkan barisan penghibur berpengalaman yang pernah masyhur dan diberi kesempatan untuk kembali menjenamakan semula nama mereka di persada seni tanah air.

Mengangkat tagline ‘Mara Suara Membara’ untuk edisi terkini, ‘GV7’ yang bakal dilaksanakan mengikut SOP dan rutin kelaziman baharu ini juga turut mencatatkan rekod bilangan penyertaan terbanyak sepanjang sejarah penganjuran edisi sebelum ini.

Selama 10 minggu, konsert mingguan ‘GV7’ bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam di saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) bermula 11 Oktober ini.

Senarai Peserta Gegar Vaganza Musim Ke-7

Peserta Gegar Vaganza 7

Seramai 14 peserta yang pernah mewarnai gelanggang industri muzik suatu masa dahulu bakal menjadi pertaruhan besar pada musim kali ini yang terdiri daripada 6 penyanyi solo lelaki, 6 penyanyi solo wanita dan dua buah kumpulan.

Enam peserta solo lelaki tersebut ialah bekas vokalis kumpulan May iaitu MUS akan menyahut cabaran bersama-sama dengan bekas vokalis May dan Rusty Blade, YANTZEN.

Turut menyertai senarai penyanyi solo lelaki ialah CLIFF UMAR (Projek Pistol), AJU (Success), OJA dan NOMAD. Sementara senarai penyanyi solo wanita yang bakal mewarnai ‘GV7’ ialah penghibur yang sinonim dengan gelaran Ratu Etnik iaitu NORANIZA IDRIS, ROZITA IZLYN, AYU DAMIT, LINDA NANUWIL, ASHIRA dan HASLINDA.

Manakala dua buah kumpulan yang juga akan menyahut cabaran ialah INDIGO dan EVA.

Datuk Haji Ramli MS masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap untuk musim terbaharu. Manakala penghibur ternama negara, Datuk Khadijah Ibrahim pula kembali menerima mandat sebagai juri tetap ‘GV7’ di samping Ramli MS setelah setahun berehat daripada tugas penjurian ‘GV’ musim lalu.

Selain itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilir-gilir pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

Setelah tujuh musim digandingkan bersama, selebriti versatil popular Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’.

Sementara itu, personaliti SINAR; Falyq Hikyle dilantik sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Manakala personaliti ERA; Daniel dan Fiza Frizzy pula digandingkan sebagai ‘Hos’ untuk program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Juara ‘GV7’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM30 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM20 ribu, RM15 ribu dan RM10 ribu beserta trofi.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, sumbangan wang tunai bernilai RM10 ribu akan turut diberikan kepada penerima terpilih menerusi segmen ‘Kongsi Rezeki’ bermula pada konsert ‘GV7’ minggu kedua hingga minggu kesepuluh.

Konsert mingguan ‘GV7’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments