Wednesday, September 23
Home>>Rancangan TV>>Pertandingan Nyanyian Misteri ‘The Masked Singer Malaysia’ di Astro Warna
The Masked Singer Malaysia
Rancangan TV

Pertandingan Nyanyian Misteri ‘The Masked Singer Malaysia’ di Astro Warna

Program ‘The Masked Singer Malaysia’ ialah sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri yang menampilkan para peserta yang terdiri daripada nama-nama hebat yang hadir dari pelbagai cabang seni.

Kesemua 12 peserta misteri ini akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri yang juga figura dihormati dalam industri.

‘The Masked Singer Malaysia’ menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer’ yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.

Untuk musim pertama ini, seramai sembilan (9) orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi Juri Tetap dan mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak.

Manakala, menggalas tugas hos adalah pengacara tersohor, versatil dan disegani ramai, Datuk AC Mizal.

Masih mengekalkan format asal program realiti ‘The King of Mask Singer’, kesemua peserta The Masked Singer Malaysia akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki bagi menyembunyikan identiti masing-masing.

Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan dipertaruhkan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara musim pertama.

Format Pertandingan The Masked Singer Malaysia

The Masked Singer Malaysia

  1. Untuk 8 minggu berturut-turut, 12 selebriti akan membuat persembahan di mana mereka akan menyanyi sambil mengenakan kostum yang akan merahsiakan identiti mereka, bukan sahaja susuk fizikal, malah suara bercakap juga akan diubah!
  2. Tahukah anda, identiti sebenar barisan peserta dirahsiakan dan tidak diketahui oleh semua yang terlibat dalam program ini iaitu hos, barisan panel malah dari ratusan krew produksi dan staff, hanya 8 orang sahaja yang diberi amanah untuk menyimpan rahsia identiti sebenar para peserta.
  3. Sebelum setiap persembahan bermula, paparan video klu akan ditayangkan untuk memberi petunjuk bagi membantu barisan panel juri dan juga penonton untuk meneka dengan tepat.
  4. Ketika persembahan peserta berlangsung, barisan juri akan memberi tumpuan ke pentas dan meneliti setiap aspek seperti gaya suara, karakter di pentas, gaya bahasa badan dan setiap pergerakan peserta untuk meneka siapakah identiti selebriti disebalik topeng.
  5. Selesainya setiap persembahan, pihak juri akan cuba untuk meneka siapakah selebriti di sebalik topeng tersebut.
  6. Barisan panelis juga akan memberikan markah bagi setiap persembahan, dan peserta yang menerima markah terendah akan disingkirkan pada minggu tersebut.
  7. Selepas pengumuman penyingkiran dibuat di akhir rancangan, detik yang paling ditunggu-tunggu dan mendebarkan adalah saat peserta tersingkir menanggalkan topeng dan mendedahkan identiti misteri mereka buat pertama kali di hadapan hos, barisan juri, dan juga penonton.
  8. Peserta yang identitinya tidak didedahkan sehingga berakhirnya episod kelapan merupakan juara program realiti The Masked Singer Malaysia musim pertama!

Terdapat 12 kostum menarik dan unik yang akan dipakai oleh barisan peserta, iaitu: Musang King, Nasi Lemak, Orang Utan, Rajah Brooke, Wau, ABC, Enggang, Ayam Jantan, Reno, Rimau, Rafflesia dan Bunga Raya.

Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda? Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September 2020, setiap Jumaat, jam 9 malam!

Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Gempak bertindak selaku rakan digital rasmi bagi program The Masked Singer Malaysia. Info program, profil kostum, dan perkembangan terkini program boleh didapati di www.gempak.com/maskedsinger.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments