Wednesday, November 25
Home>>Informasi Hiburan>>Norma Baharu Kuatkan Semangat Sepahtu Reunion Live 2020
Semangat Sepahtu Reunion Live 2020
Informasi Hiburan

Norma Baharu Kuatkan Semangat Sepahtu Reunion Live 2020

Program komedi Astro Warna, Sepahtu Reunion Live 2020 yang bersiaran secara langsung dari Teater Shah Alam mulai Khamis, 15 Oktober, jam 9 malam buat pertama kalinya diadakan tanpa tenaga sorakan dan gelak ketawa penonton.

Namun begitu, Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh menyatakan kumpulan Sepahtu dan juga kru produksi tetap dengan misi menghibur mereka, malah menjadikan ‘norma baharu’ sebagai pembakar semangat.

Sepahtu Reunion Live 2020

“Penghasilan program Sepahtu Reunion Live bagi tahun ini merupakan salah satu inisiatif kami untuk menghiburkan penonton Astro Warna dan peminat kumpulan Sepahtu yang sudah tentu merindukan ‘pikat line’ dari Shuib, Rahim, Jep dan Pak Ya.

Dengan pengisian menarik dan menghiburkan ini, kami amat bertuah kerana masih diberikan peluang untuk menghasilkan karya seni kami walaupun dibelenggu dengan cabaran pandemik COVID-19.

Pembakar semangat bagi pelawak dan kru produksi adalah kedengaran gelak ketawa dan reaksi penonton, namun, saya amat kagum dengan komitmen yang diberikan oleh semua yang terlibat; bertungkus lumus menjayakan program ini yang saban tahun kami hasilkan.”

Semangat Sepahtu Reunion Live 2020

Ahli kumpulan Sepahtu, pemilik nama Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib berkata beliau pada mulanya agak bimbang apabila diberitahu produksi akan berjalan tanpa penonton, namun beliau teruja untuk kembali beraksi di atas pentas.

“Selama 5 tahun Sepahtu Reunion bersiaran, ini merupakan kali pertama tidak ada penonton bersama kami. Saya seronok dapat kembali. Sepahtu Reunion adalah platform yang paling saya minati dan program ini adalah sebuah kebanggaan bagi diri saya. Alhamdulillah, bila kembali, rasa syukur sangat walaupun dalam norma baharu.

Walaupun siaran langsung akan berjalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kami tak berkompromi dari segi kualiti kerja dan persiapan yang dibuat. Kami tahu ramai yang akan menonton di kaca televisyen. Jadi, kami semua
akan berikan yang terbaik buat peminat kami.”

Saksikan Sepahtu Reunion Live 2020 setiap Khamis, jam 9 malam secara langsung di Astro Warna (127) dan Warna HD (107). Program berdurasi 60 minit ini juga boleh disaksikan di platfrom digital melalui aplikasi Astro GO dan secara strim dengan kemudahan on demand.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments