Tuesday, July 20
Home>>Konsert>>Konsert Mini ‘Showcase Lejen Ria’ Tampil 5 Lagenda
Konsert

Konsert Mini ‘Showcase Lejen Ria’ Tampil 5 Lagenda

Showcase Lejen Ria

Program ‘Showcase Lejen Ria’ adalah sebuah program hiburan terbaharu berkonsepkan konsert mini eksklusif bersama barisan penyanyi legenda dalam industri muzik tanah air yang akan menghiburkan penonton dengan rangkaian koleksi lagu popular masing-masing sekaligus bakal mengimbau nostalgia untuk setiap lagu yang pernah menjadi siulan ramai.

Lima penghibur ikonik dengan latar belakang genre muzik yang berbeza iaitu Kumpulan Wings, Zamani & Ameng, Ella dan Anuar Zain bakal menggegarkan malam hujung minggu menerusi empat buah konsert mini yang akan berlangsung selama 90 minit dari Studio 1, Astro Bukit Jalil.

Konsert mingguan eksklusif ‘Showcase Lejen Ria’ bakal dikendalikan sepenuhnya oleh selebriti versatil, Dato’ AC Mizal selaku hos program yang akan mendalami perjalanan kembara seni serta pencapaian cemerlang barisan artis jemputan sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik.

Konsert Mini Showcase Lejen Ria

Selain itu, pelbagai perkongsian pahit manis dan pengalaman berharga yang mungkin tidak pernah dikongsikan sebelum ini akan turut dicungkil menerusi program ini.

Rakaman program ‘Showcase Lejen Ria’ akan bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam bermula 21 Mac 2021 menerusi saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Kumpulan Wings akan membuka gelanggang episod pertama program ‘Showcase Lejen Ria’ pada Ahad ini. Kemudian disusuli dengan penampilan istimewa Zamani & Ameng untuk episod kedua pada 28 Mac 2021. Ratu Rock Negara, Ella pula akan beraksi di episod ketiga pada 4 April 2021.

Manakala penyanyi terkenal Anuar Zain pula akan melabuhkan tirai program ini menerusi episod keempat pada 11 April 2021.

Trivia ‘Showcase Lejen Ria’

Wing Showcase Lejen Ria

  1. Rakaman konsert mini ‘Showcase Lejen Ria’ untuk episod yang menampilkan Kumpulan Wings serta Zamani & Ameng sudahpun selesai dijalankan. Manakala rakaman dua buah episod lagi yang menampilkan penyanyi Ella dan Anuar Zain dijadualkan untuk berlangsung pada 20 dan 22 Mac ini di Studio 1, Astro Bukit Jalil.
  2. Untuk episod pertama yang menampilkan Kumpulan Wings, buat pertama kalinya para peminat bakal dihiburkan dengan persembahan ‘reunion’ daripada Dato’ Awie, Mel dan Muss. Antara barisan lagu hits yang bakal dipersembahkan termasuklah ‘Bernafas Dalam Lumpur’, ‘Opera Hidup’, ‘Peronda Jaket Biru’, ‘Taman Rashidah Utama’ dan banyak lagi.
  3. Antara babak menarik yang harus dinantikan adalah sewaktu segmen ‘Balik Belakang’ yang akan menyiarkan koleksi gambar kenangan menampilkan Dato’ Awie, Eddie, Black serta ramai lagi untuk mengimbau semula sejarah pembabitan mereka dalam industri muzik.
  4. Selain itu, terdapat juga segmen istimewa yang menampilkan panggilan video secara langsung bersama komposer dan penulis lirik, Bob Lokman untuk mengetahui kisah di sebalik lagu ‘Taman Rashidah Utama’ serta kenangan bersama Kumpulan Wings.
  5. Episod kedua pula bakal menyaksikan gandingan vokalis hebat tanah air iaitu Zamani daripada Kumpulan Slam dan Ameng daripada Kumpulan Spring. Antara lagu hits yang bakal dinyanyikan oleh Zamani termasuklah ‘Syair Si Pari-Pari’, ‘Nur Kasih’, ‘Entah Mengapa’, ‘Gerimis Mengundang’ dan banyak lagi. Manakala Ameng pula akan membawakan lagu hits seperti ‘Butakah Cinta’, ‘Cempaka Di Rembulan’, ‘Sampai Hati’ dan sebagainya.
  6. Selain nyanyi secara solo, para penonton juga akan turut dihiburkan dengan persembahan duet daripada Zamani dan Ameng.
  7. Antara trivia menarik yang akan dibawakan menerusi episod ini termasuklah pengalaman kedua vokalis ini bersama peminat yang tidak dapat dilupakan sewaktu membuat konsert. Ameng turut berkongsi momen menarik antaranya ketika dia diangkat oleh peminat dan kejadian peminat yang menangis di hadapannya sewaktu membuat persembahan. Nantikan juga perkongsian ekslusif oleh Zamani saat sedang diuji dengan detik hitam semasa dalam pusat pemulihan dadah.
  8. Manakala untuk konsert episod ketiga pula, penyanyi Ella juga akan turut membuat kejutan menarik menerusi persembahan khas bersama suami tercinta, Azhar Ghazali serta adiknya, penyanyi Korie.
  9. Penyanyi malar segar Anuar Zain juga tidak ketinggalan untuk berduet dengan anak saudaranya iaitu Ernie Zakri menerusi episod akhir program ini.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments