Tuesday, September 14
Home>>Album>>Single>>“Wanita” Karya Balada Pertama Kucaimars
Kucaimars
Single

“Wanita” Karya Balada Pertama Kucaimars

Amirul Husyairi bin Nani atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Kucaimars mula mencuri perhatian pada tahun 2018 apabila video dirinya menyanyikan lagu-lagu saduran yang dikongsikan di laman sosial media menjadi tular.

Kucaimars memulakan kerjaya sebagai penyanyi profesional menerusi single debutnya berjudul ‘Jawab’ pada Januari 2019.

Namanya semakin menjadi sebutan apabila menyertai program Big Stage 2019 dan berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat Separuh Akhir.

Kucaimars kemudiannya melancarkan single keduanya ‘Khayalan’ pada Disember 2019 , sebuah lagu yang dirakam sempena penyertaannya dalam program realiti yang beraspirasi mengetengahkan bakat generasi muda dalam industri muzik Malaysia itu.

Setelah kejayaan ‘Khayalan’ yang berjaya menjana lebih 1.9 juta tontonan di YouTube, pada tahun 2020 Kucaimars muncul pula dengan single ketiganya berjudul ‘Mudah Bagimu’ yang mendapat sambutan hangat peminat. Sebagai permulaan kalendar seninya pada tahun 2021 ini, Kucaimars bakal melancarkan single terbaharunya berjudul “WANITA”.

Kucaimars Wanita

“WANITA” merupakan ciptaan bersama Shamin Nazri dan Rudy Nastia. Lagu ini diberikan susunan muzik yang indah oleh Rudy Nastia bersama Bajai.

Menyifatkan single keempatnya ini sebagai lagu patah hati, Kucaimars berkata,

“Ini merupakan lagu pertama saya yang berunsur balada menyayat hati. Lirik lagu ini bercerita tentang seseorang yang patah hati setelah gagal dalam percintaan, setelah dilukai oleh wanita yang dicintainya. Saya berharap lagu ini dekat di hati pendengar yang pernah mengalami pengalaman yang serupa dan semoga lagu ini menjadi sesuatu yang mereka akan dengar untuk mengubati hati sendiri.”

Single “WANITA” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 26 FEBRUARI 2021.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments