Sunday, October 17
Home>>Drama>>Plot Twist Drama Adaptasi ‘Hati Yang Dikhianati’, Netizen Tentukan
Poster Hati Yang Dikhianati
Drama

Plot Twist Drama Adaptasi ‘Hati Yang Dikhianati’, Netizen Tentukan

Drama bersiri ‘Hati Yang Dikhianati’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. merupakan sebuah lagi naskhah adaptasi melayu daripada telenovela popular Venezuela, ‘My Three Sisters’ atau lebih dikenali dengan judul asal dalam Bahasa Sepanyol iaitu ‘Mis Tres Hermanas’.

Kisah melodrama yang diterajui oleh Ricardo Alamo, Scarlet Ortiz dan Roberto Moll pada ketika itu pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika siri tersebut ditayangkan di Malaysia sekitar tahun 2002.

Karya ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia ini diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar.

Pelakon Drama Hati Yang Dikhianati

Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam- Noor serta ramai lagi.

Tampil dengan format berbeza berbanding sebarang karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini di platform Astro, buat julung kalinya struktur naratif penceritaan dan pembinaan watak naskhah ini bakal ditentukan berdasarkan konsep model interaktif terbuka atau ‘open-ended’ yang dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa.

Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Drama ‘Hati Yang Dikhianati’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 12 April 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

“Format sebegini mungkin agak baru untuk masyarakat Malaysia. Namun, ia sebenarnya sudah popular dan sering diguna pakai oleh ramai ‘content creator’ di luar negara. Antara naskhah terkenal antarabangsa yang memberi inspirasi kepada kami untuk berkarya termasuklah ‘Hollyoaks’ dan ‘Eastenders’ terbitan BBC serta ‘General Hospital’ terbitan ABC.

Ketiga-tiga naskhah tersebut sudahpun mempunyai ribuan episod dan masih lagi ditayangkan sehingga kini. Mengikut rekod juga, ramai bintang-bintang telah dilahirkan menerusi penerbitan naskhah ini.

Kemunculan media baharu telah mengubah cara audiens menikmati sesebuah kandungan pada era digital ini. Mereka juga lebih ekspresif dan mempunyai idea tersendiri yang ingin kami raikan bersama. Walaupun ini merupakan sebuah taruhan yang berani, namun kami yakin format ini akan disambut baik oleh penggemar drama Melayu yang mahukan kelainan.

Semoga drama ‘Hati Yang Dikhianati’ diterima baik dan bakal mengulangi fenomena naskhah ‘Mis Tres Hermanas’ yang asal. Selamat menonton!” – Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima

Sinopsis Drama ‘Hati Yang Dikhianati’

Poster Hati Yang Dikhianati

Setelah pemergian bapanya, Iskandar mengambil keputusan untuk berhenti persekolahannya dan terus bekerja demi membesarkan tiga adik perempuannya. 15 tahun berlalu selepas peninggalan ibu bapanya, Iskandar kini berkahwin dengan Maria dan tinggal bersama dua orang adiknya iaitu Lisa yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital komuniti serta adik bongsunya, Baby yang masih belajar.

Segalanya berubah apabila Lisa menyerang tapak pembinaan di sebelah hospitalnya dan berdepan dengan Zuhri Elyas yang merupakan ketua projek pembinaan tersebut. Pertemuan mereka secara perlahan membuahkan rasa kasih namun tanpa pengetahuan Lisa, Zuhri Elyas sebenarnya sudahpun bertunang.

Dalam masa yang sama dia juga berselingkuh dengan Maria, kakak ipar kepada Lisa sendiri. Maria pula semakin tertekan ditambah dengan kehadiran adik iparnya Syaz dan suaminya Imran yang terpaksa berpindah ke rumah Iskandar kerana kehilangan kerja. Perlahan-lahan perjalanan cinta Lisa dan Zuhri ditempuh ranjau.

Trivia Drama ‘Hati Yang Dikhianati’

1. Audiens boleh mula menghantarkan sebarang idea, cadangan atau maklum balas untuk drama ‘Hati Yang Dikhianati’ selepas dua minggu drama ini mula ditayangkan iaitu pada 23 April 2021 di platform rasmi Gempak.

2. Perubahan naratif penceritaan dan plot twist serta pembinaan watak berdasarkan maklum balas audiens dan jumlah tontonan semasa akan mula disuntik pada episod 40 dan seterusnya.

Hati Yang Dikhianati - Amar Baharin

3. Amar Baharin yang memegang watak sebagai ‘Zuhri Elyas’ atau ‘Santiago’ dalam naskhah asal mengambil keputusan untuk berpindah ke Perlis buat sementara waktu bersama keluarganya yang tercinta bagi memberikan sepenuh komitmen untuk menjayakan
penggambaran drama ini.

4. Sebelum ini, Amar Baharin juga pernah memegang watak utama dalam beberapa buah drama di slot Tiara, Astro Prima. Antara drama-drama yang pernah dijayakan termasuklah ‘Jodoh-Jodoh Annisa’ dan ‘Akadku Terakhir’.

5. Semasa naskhah asal ‘Mis Tres Hermanas’ disiarkan buat pertama kali di Malaysia sekitar tahun 2002, Amar Baharin masih lagi di bangku sekolah menengah.

6. Pelakon berbakat kelahiran program realiti Akademi Fantasia, Isyariana yang memegang watak utama sebagai ‘Lisa’ turut berpadu suara dengan penyanyi baharu Dean Eiman bagi menjayakan lagu runut bunyi untuk drama ‘Hati Yang Dikhianati’. Lagu yang sama dalam versi asal berjudul ‘Purest of Pain’ atau dalam Bahasa Sepanyol ‘A Puro Dolor’ telah dinyanyikan oleh Son By Four.

7. Penggambaran drama ‘Hati Yang Dikhianati’ masih berjalan dan sehingga kini sudahpun mengambil masa lebih kurang 90 hari. Antara lokasi penggambaran yang terlibat termasuklah di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Perlis.

8. Selain itu, pihak produksi juga mengambil keputusan untuk mengubah lokasi penggambaran ke Perlis dan bergegas ke sana dalam masa 24 jam untuk mengelakkan sebarang kesulitan di lokasi. Ketika itu, lokasi asal di sekitar Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) pada awal tahun yang lalu.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments