Friday, September 17
Home>>Informasi Hiburan>>“Rumah No. 107” Kini Kembali Dengan Musim Yang Kedua
Rumah No 107 Musim kedua
Informasi Hiburan

“Rumah No. 107” Kini Kembali Dengan Musim Yang Kedua

Program sketsa dan bual bicara komedi terbitan Astro Warna, ‘Rumah No. 107’ bakal kembali menemui peminat pada setiap hari Jumaat, mulai 4 Jun, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Rumah No. 107’ juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand.

‘Rumah No. 107’ sekali lagi mengekalkan pemain utamanya sebagai pengemudi, dengan diketuai oleh pelakon, penyanyi, pengacara, penulis skrip dan pengarah versatil tanah air, saudara Khir Rahman yang mana beliau turut ditemani barisan pelawak dan pelakon komedi popular negara, Joey Daud, Ropie dan anak seni kelahiran Indonesia, Vicha.

Masing-masing yang pertama kalinya ditampilkan pada musim lalu, kekal memegang watak asal dengan Khir Rahman sebagai ‘Tok K’, seorang datuk berumur dalam lingkungan 50-an yang mempunyai penyakit mudah lupa namun tetap meminati dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini industri seni tanah air.

Beliau ditemani Joey sebagai ‘Joey’, cucu kepada Tok K yang agak nakal, memiliki mulut yang agak ‘laser’ dan gemar menyakat anak-anak gadis, Ropie, juga memegang watak sebagai ‘Ropie’, jiran dan turut merupakan rakan karib kepada Tok K, yang kini telah mengahwini Bibik Cha (lakonan Vicha). Bibik Cha adalah pembantu rumah kepada Tok K yang turut menggemari gosip terkini dan diumpamakan sebagai ‘Mami Jarum’ dalam keluarga Tok K.

Menariknya lagi untuk musim ini, ‘Rumah No. 107’ akan menampilkan seorang lagi ahli keluarga baharu Tok K. Pengacara dan pelakon komedi, Shuk yang akan melakonkan watak ‘Shuk’, merupakan anak saudara Tok K yang kini menetap bersama kerana mendapat peluang pekerjaan di kampung Tok K.

‘Rumah No. 107’ yang bakal bersiaran sebanyak lapan (8) episod ini dengan berdurasi 90 minit setiap episod akan menyaksikan penglibatan ramai nama-nama tersohor tanah air sebagai selebriti jemputan.

Di antaranya termasuklah Linda Onn, Halim Othman, Zamani, Ameng SPRING, Dato’ Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi, Zul Huzaimy, Abby Abadi, Didie Alias, Zizi Kirana dan Kumpulan ELITE (Watie, Azza, Linda Raafar), Catriona Ross, Zarina
Zainuddin, Saiful Apek, Dato’ Chef Wan, Syanie, Nabilla Razali, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Dato’ Aznil Hj. Nawawi, Awal Ashaari dan ramai lagi nama-nama yang disegani ramai.

‘Rumah No. 107’ menampilkan tiga (3) segmen utama sebagai sajian utamanya. “Sembang Secawan Kopi” yang diandaikan sebagai segmen pembuka atau ‘pemanas’ program menyaksikan tetamu jemputan berbual santai bersama Tok K selaku Tuan Rumah mengenai perkembangan terkini industri seni tanah air.

Segmen kedua pula, “Dapur Panas Berapi” memperlihatkan Bibik Cha menjemput tetamu jemputan ke dapur untuk turut
sama memasak dan beraksi dengan skil masing-masing dalam menyediakan masakan kegemaran mereka.

Untuk musim ini, Bibik Cha juga akan mengutarakan soalan-soalan yang lebih ‘panas’ dan sensasi kepada tetamu jemputannya. Diikuti pula dengan “Pillow Talk”, segmen yang dilihat agak berat sedikit berbanding dua segmen yang terdahulu di mana selebriti akan berkongsi kisah dan pengalaman hidup masing-masing dalam usaha menempa nama di persada seni tanah air.

Di antara topik-topik yang diperdengarkan termasuklah pengalaman jatuh bangun dalam industri, kehilangan orang tersayang, ditinggalkan pasangan di kala meniti hari bahagia, dan banyak lagi.

Rumah No 107 Musim kedua

Berlatarkan rumah agam Tok K sebagai set utama penggambaran yang dijalankan di Cinegear Studio, Sungai Buloh, sedikit kelainan turut diterapkan apabila produksi menampilkan kumpulan pemuzik jemputan sebagai salah satu elemen penting dalam menceriakan lagi ‘Rumah No. 107’.

KRISTAL yang diketuai oleh Mohd Rodi Baharudin @ Rody yang juga merupakan gitaris utama kumpulan bersama ahlinya yang lain mengiringi perjalanan produksi sepanjang berlangsungnya musim yang kedua ini.

Jangan lupa saksikan ‘Rumah No. 107’ pada setiap hari Jumaat, mulai 4 Jun, jam 9.00 malam di Astro Warna saluran 107 HD dan 127 SD. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, anda juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan platform On Demand.

Tinggalkan Komen Anda

Komen

Powered by Facebook Comments